Tuesday, 12 April 2011

BICARA SUBUH SUNGGUH MENYENTUH HATI

Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut

kedatangan seorang tetamu tetapku.



"Assalamualaikum" , seru Subuh.

"Wa'alaikumsalam" , sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu

serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya

mengembara dari satu tempat ke satu tempat.

"Tadi..", kata Subuh dengan sayu, "... aku baru sahaja melintasi satu

tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi,

tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai tetamu." Dan air mata

Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan

penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat

sesuatu.

"Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya disebalik sungai.

Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku

dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang

paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari di bumi lain, tapi

jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta

leka". Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami

maksud Subuh. "Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku

tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada

Roti Shiyam", cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. "Roti itu ada tuan punyanya", kata Subuh.

"Adakah kau mahu manisan Zikir?" rayuku pada Subuh.

"Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata

Tangisan", pinta Subuh.

Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air

Tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau Maksiat yang

berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi yang

memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir

separuh penuhnya. Dan aku berdetik di dalam hati, adakah ini tanda

kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi ku bawa Air tersebut pada

Subuh, tetamu yang ku sanjungi, dan ku suakan manisan yang dipintanya.

Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh ..", seruku, "... mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku

memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya,

wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan

terpenuhi.

"Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan

kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, seperti mana aku menguliti

mimpimu".

Dan aku akur dengan penjelasan Subuh. "Subuh",.. seruku lagi bila

melihat Subuh bersiap untuk pergi, "Sudikah kau menziarahiku lagi esok

hari?"

"InsyaAllah" , jawab Subuh,"... bukankah aku kekasih yang kau rindui?"

Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum" , seru Subuh.

"Waalaikumsalam" , jawabku kembali. Dan mataku terus meniti langkah

Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan akhirnya Subuh

hilang dari pandangan.

No comments:

Post a Comment